Tentang Kami

      Pada April 1998, Raudhatus Sakinah sebagai sebuah pusat perlindungan dan bimbingan remaja puteri telah ditubuhkan oleh beberapa orang wanita yang merasakan keperluan mewujudkan tempat perlindungan untuk remaja perempuan yang tersasar. Ianya merupakan pusat penjagaan sepenuh masa yang dioperasikan sebagai salah satu usaha kebajikan bersama.

Kumpulan sasarnya adalah remaja puteri Islam yang berhadapan dengan masalah sosial dan memerlukan bimbingan dan perlindungan. Raudhatus Sakinah menyedari hakikat bahawa perangkaan kes-kes salahlaku di kalangan remaja Malaysia semakin meningkat apatah lagi di kalangan remaja melayu Islam. Bersamanya ia membawa pelbagai penyakit sosial yang akhirnya merosakkan bukan sahaja golongan remaja tetapi juga institusi keluarga dan seterusnya masyarakat.

Malaysia kini jauh lebih maju daripada sedekad yang lalu. Kemajuan ini membawa bersama perubahan gaya hidup rakyat di setiap lapisan masyarakat. Kecenderungan untuk mencapai kehidupan yang lebih selesa dan bergaya membawa bersama beberapa implikasi negatif ke dalam kehidupan. Golongan yang tidak bertanggungjawab, demi kepentingan diri sendiri, tidak segan silu mengambil kesempatan daripada golongan yang lemah. Ledakan teknologi yang di antara lain membawa bersamanya perkembangan media cetak, eletronik dan internet menjadi gelanggang dan pemangkin kepada pelbagai budaya dan nilai sumbang. Wanita dan kanak-kanak sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat tidak terkecuali daripada terkesan dengan perubahan yang berlaku terutamanya golongan remaja puteri. Kurangnya ketrampilan keibubapaan serta ilmu, menatijahkan generasi yang kurang terdidik dengan ilmu dan amalan agama yang sempurna.

 

Rasional Penubuhan Raudhatus Sakinah

1. Dasar Agama

Sememangnya kita tidak perlu melakukan sesuatu jika tidak ada dasarnya di dalam Islam. Berkasih sayang dan tolong menolong adalah natijah daripada beriman kepada Allah SWT.

“……..Dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada kamu….” (Al Qasas :77)

Dan yang paling berhak menerima pertolongan dan pembelaan ialah golongan yang memerlukan dan teraniaya.

Sabda Rasulullah SAW :

“Orang Islam itu saudara orang Islam; ia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkannya teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya, Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat.”

(Hadith Riwayat Bukhari No. 1168)

Sabda Baginda SAW:

“Siapa yang meminta perlindungan padamu atas nama Allah, maka lindungilah ia. Siapa yang meminta kepada mu dengan nama Allah, maka berilah ia. Siapa yang meminta pertolongan dengan nama Allah, maka tolonglah ia.”

(Hadith Sunan An-Nasai’ No. 2427)

Betapa Rasulullah SAW memberi perhatian yang berat ke atas pembinaan peribadi umat Islam dengan mementingkan sikap tolong menolong, bantu membantu dan cukup mencukupi terutamanya dalam memenuhi hajat orang yang datang meminta kepada kita untuk perlindungan, bantuan atau sebagainya, tidak kira orang Islam atau bukan Islam.

2.  Dasar Ihsan Dalam Melaksanakan Tanggungjawab Dan Memelihara Imej Masyarakat.  

Masyarakat Islam di Malaysia sekarang diibaratkan sedang sakit. Baik dan buruk masyarakat Islam akan memberi tempias kepada kita juga. Perlakuan buruk sekolompok muda mudi akan akhirnya mempengaruhi muda mudi lain yang mudah terikut. Maka menjadi tanggungjawab kita bersama berusaha mengubati penyakit ini. Adalah tidak rasional jika hanya bercakap, menegur dan menuding jari tanpa terjun sendiri ke dalam kancah permasalahan, mendalaminya, memberi bantuan, perlindungan, mencari punca masalah dan merangka bimbingan yang sebaik-baiknya.

3. Dasar Dakwah Dan Islah

Menjadi hasrat kami juga agar masyarakat menyedari bahawa tanggungjawab dakwah (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) adalah tanggungjawab kita bersama. Jika remajanya cemerlang, negara akan gemilang dan begitulah sebaliknya. Usaha pengislahan (pembaikan) memerlukan komitmen masyarakat, bukan tertumpu kepada individu, keluarga dan organisasi terbabit sahaja. Raudhatus Sakinah membuka jalan dan peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk menyalurkan sumber tenaga mereka kepada kerja-kerja kebajikan yang mereka minati. Ia juga bertujuan menyedarkan masyarakat bahawa remaja kita adalah tanggungjawab kita.

 

Konsep dan Perlaksanaan Raudhatus Sakinah

Objektif

  1. Untuk memberikan bantuan serta bimbingan secara langsung sehingga pelatih dapat keluar daripada masalah yang membelenggu mereka dan memberi mereka peluang untuk masa depan yang lebih cerah di dalam kehidupan.
  2. Menawarkan bimbingan dan pendidikan Islam sehingga mereka dapat menghayati dan mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup.
  3. Sebagai satu usaha kebajikan untuk masyarakat dan ummah ke arah menangani masalah gejala sosial di kalangan remaja.

 

 Visi

Menjadi satu institusi pilihan bagi pembangunan insan yang membawa imej sejahtera untuk masyarakat majmuk

 

Misi

  1. Merealisasikan tanggungjawab nahi mungkar ke arah membanteras gejala sosial melalui kesedaran, bimbingan, perlindungan dan pembinaan jatidiri remaja, keluarga dan masyarakat.
  1. Mendokong budaya kerja penyayang, efektif, proaktif dan efisien.

 

Kemudahan Dan Perkhidmatan Raudhatus Sakinah

  1. Rumah perlindungan yang lengkap, selamat dan mesra
  2. Bimbingan bina diri (Motivasi, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab)
  3. Bimbingan rohani dan agama (Fardhu ‘Ain, Al-Quran, Aqidah, Akhlaq, Seerah, Doa, Bimbingan Mukmin & Hadith)
  4. Rekreasi, riadhah dan seni
  5. Kemahiran (menjahit, memasak, kraftangan dan komputer)
  6. Kaunseling individu
  7. Kaunseling kelompok

t

Sebahagian daripada sijil pendaftaran Raudhatus Sakinah Cawangan Selangor

Facebook Comments
FacebookTwitterGoogle+WhatsAppTumblrWeChatPinterestGoogle BookmarksShare